Assalamulaikum w.w. dan selamat sejahtera.
Saya ingin merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada seluruh pasukan
web dan mereka yang terlibat secara langsung mahupun yang tidak langsung
dalam usaha untuk menjayakan sebuah Laman WEB yang cukup interaktif dan
informatif untuk ditonjolkan kepada seluruh rakyat Malaysia khususnya.
Bersesuaian dengan kemajuan dunia maklumat tersebut, kelahiran laman web
Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Ara adalah amat dibanggakan. Saya
amat bersyukur ke hadrat Allah kerana dengan izin-Nya, laman web ini
dapat dilancarkan.
Ini bermakna sekolah ini dapat dikenali dan dilawati di alam
siber dalam
pelbagai aspek. Apa yang diharapkan ialah wadah pendidikan ini
dapat diperkayakan dari masa ke masa melalui perkongsian maklumat dan
pengetahuan daripada semua pihak.
Bagi saya, laman web ini
bukan sekadar paparan visual semata-mata, bahkan dapat membuka satu
dimensi baru dalam budaya ilmu ke arah pendidikan bertaraf dunia yang
menjadi matlamat Kementerian Pendidikan.
Dengan penghasilan laman
web ini, peristiwa-peristiwa penting yang berlangsung sepanjang tahun di
SMKSA dan kejayaan dalam bidang-bidang kurikulum serta kokurikulum dapat
didokumentasikan dalam laman web ini.
Tahun 2002 menunjukkan
peningkatan dalam bidang kurikulum dan kokurikulum. Keputusan PMR dan
SPM terus meningkat. Bagi peperiksaan STPM, hampir separuh daripada
calon tahun lepas telah berjaya melanjutkan pelajaran ke IPTA.
Pencapaian ini amat membanggakan seluruh warga SMKSA. Selain itu
pelajar-pelajar SMKSA juga menunjukkan daya juang yang tinggi dalam
bidang kokurikulum. Justeru, pasukan sekolah telah berjaya memenangi
beberapa pertandingan di peringkat daerah dan negeri. Ada juga di
kalangan mereka telah dipilih untuk mewakili negeri pada peringkat
kebangsaan. Saya berharap usaha ini akan terus berkekalan agar kita akan
menempah lebih banyak lagi kejayaan yang gemilang sama ada di persada
kurikulum atau kokurikulum pada masa hadapan.
Bagi negara Malaysia,
matlamat atau sasaran kita sudah pun ditentukan. Kita ingin menjadi
negara maju menjelang tahun 2020. Untuk mencapai taraf negara maju,
salah satu faktor penentu adalah keupayaan melahirkan tenaga kerja dalam
bidang Sains dan Teknologi. Bagi memastikan lebih banyak lagi pelajar
dari sekolah ini meminati mata pelajaran Sains, pihak sekolah telah
memilih untuk memberi tumpuan kepada mata pelajaran Sains. Untuk
mencapai objektif tersebut, Program Penggalakan Sains 2002 telah
dijalankan sepanjang tahun.
Menyedari Bahasa
Inggeris merupakan alat yang penting dalam penguasaan ilmu terutama
dalam zaman siber dan teknologi, pihak sekolah telah merangka program
untuk meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan pelajar.
Sebagai permulaan, Bahasa Inggeris telah digunakan sebagai bahasa
perantaraan dalam perhimpunan sekolah pada minggu pertama setiap bulan.
Selain itu, pelbagai aktiviti telah diadakan pada setiap bulan untuk
menarik minat dan meningkatkan taraf penguasaan Bahasa Inggeris di
kalangan pelajar.
Kejayaan dan kemajuan
SMKSA sebenarnya adalah hasil daripada usaha kita kerana pendidikan
merupakan suatu aktiviti mulia yang memerlukan perkongsian usaha,
kerjasama dan permuafakatan antaraa beberapa pihak iaitu ibu bapa,
guru-guru dan pelajar-pelajar. Tanpa sokongan dan dedikasi daripada anda
semua, tentulah sukar bagi kita menjamin kejayaan dalam melaksanakan
pelbagai program yang telah direncanakan. Kepada semua guru yang saya
hormat, terima kasih diucapkan kerana sentiasa merealisasikan kerja
berpasukan untuk peningkataan kualiti secara terancang dan bersepadu
dari satu tahap ke tahap yang lebih tinggi.
Kepada para pelajar yang
dikasihi, sekolah merupakan permatang ilmu yang harus disusuri oleh
setiap pelajar. Sekolah adalah wahana utama masyarakat untuk membina
generasi Malaysia yang cemerlang dalam meniti milinium baru yang serba
mencabar. Disiplin diri dan daya saing amatlah penting untuk menjadi
warga yang intelektual, inovatif, kreatif dan berketrampilan. Adunan
aspek disiplin ini dapat melengkapakan dan mempersiapkan setiap pelajar
utnuk mendominasikan arena hidup dalam dunia tanpa sempadan yang penuh
dengan cabaran. Namun kejayaan hanya akan berada dalam genggaman
andainya para pelajar tekun, berdaya maju, berani dan sanggup menghadapi
serta menerima apa jua cabaran.
Kepada semua ibu bapa,
saya berharap anda semua akan terus memberi sokongan padu kepada semua
aktiviti yang dirancang oleh pihak sekolah dan akan senantiasa
meluangkan masa untuk bersama anak-anak
dalam sebarang program yang dianjurkan oleh pihak sekolah bagi
memastikan hubungan simbiotik antara ketiga-tiga pihak iaitu sekolah,
ibu bapa dan pelajar terus dipupuk supaya sekolah ini dapat mengukir
lebih banyak kejayaan yang cemerlang lagi pada masa-masa yang akan
datang.
Marilah sama-sama kita merealisasikan hasrat
tersebut.
Selamat Berkunjung ke laman web SMK Sungai Ara.
Puan Rokiah bt Hamzah
Pengetua SMK Sungai Ara
-